Islam menetapkan peraturan tertentu dalam perang, antaranya tidak boleh membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan orang awam yang tidak terlibat dalam perang. Jangan melanggar perjanjian, jangan mengkhianati harta rampasan perang, jangan merosakkan mayat, jangan membunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat.
Dalil Tentang Perang
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Surah Al-Baqarah, ayat 190).
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah, ayat 193).
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran agamaNya); dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah, ayat 244).
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.(Surah Al-Anfaal, ayat 39).Dalil Kewajipan Berperang.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al-Baqarah, ayat 216).
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan) dan dirikanlah solat serta berikanlah zakat. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)? Katakanlah (wahai Muhammad): Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap) dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun. (Surah An-Nisaa', ayat 77).Hukum Berperang Dalam Bulan Mulia
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati) dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya). (Surah Al-Baqarah, ayat 217).Larangan Berundur Ketika Peperangan,
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. (Surah Al-Anfaal, ayat 15).
Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu kecuali dia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya dia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah dan tempatnya ialah Neraka Jahannam; sedang Neraka Jahannam ialah seburuk-buruk tempat kembali. (Surah Al-Anfaal, ayat 16).Memerangi Pemimpin Yang Mencabuli Sumpah Janji
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat). (Surah At-Taubah, ayat 12).
Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman? (Surah At-Taubah, ayat 13).
Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. (Surah At-Taubah, ayat 14).
0 comments:
Post a Comment